Pihak pembangkang mahu kabinet mewakili suara rakyat Malaysia dan bukan mewakili kaum tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low dan Timbalan Menteri I Pelajaran dan Pengajian Datuk Mary Yap mewakili kaum Cina dalam barisan kabinet baharu yang telah diumumkan.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang mewakili DAP sewaktu dihubungi Astro Awani berkata ahli kabinet mewakili komposisi kaum bukanlah sesuatu hal yang menjadi isu.

"Kaum bukan isu utama. Tidak kiralah Melayu, Cina atau India. Apa yang penting peranan mareka," kata Teo.

Selain memfokuskan komposisi kaum, perkara yang dibangkitkan Teo ialah pelantikan dua menteri wanita.

"Kita patut memperkasakan daya wanita. BN sebelum ini mengatakan akan meningkatkan penglibatan wanita dalam menjana keputusan hingga mencapai 30 peratus.

"Dengan dua menteri wanita dalam kabinet, peratusannya kurang daripada 10 peratus. Kita perlu meningkatkannya sehingga 15-20 peratus lagi bagi mendekati sasaran 30 peratus. Wanita juga tidak seharusnya diletakkan kepada portfolio tertentu," katanya.

Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden PKR Tian Chua berkata penglibatan minimum kaum Cina bukan merupakan satu masalah namun beliau berharap wujudnya sebuah kabinet yang mewakili rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Ianya telah dijangkakan sejak MCA membuat keputusan untuk tidak menyertai kabinet dan kerana itulah kurang wakil daripada kaum Cina," kata Tian Chua.

Beliau berkata masalah sebenar ialah apabila ada pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan parti yang mereka wakili.

"Persoalannya sama ada wakil UMNO atau wakil Malaysia Timur cukup matang untuk mewakili suara rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Saya tidak melihat wujud ahli kabinet yang mampu merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia," jelas beliau.

Disebabkan prestasi yang tidak memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), MCA dan Gerakan tidak berhajat untuk menganggotai kabinet.

Kementerian Pengangkutan yang telah dikhususkan oleh MCA kini dipangku oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein sehinggalah parti berkenaan mengubah fikiran untuk tidak menyertai kabinet pimpinan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang meluahkan kekesalannya terhadap keputusan kerajaan meminggirkan bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman sebagai senator dan anggota kabinet.

"Kepimpinan Umno wajar melihat keberanian Ghani sewaktu bertanding merebut kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU-13 yang lalu. Ianya tidak adil dan melihatkan Umno sebagai parti yang tidak mengenang budi kerana menggugurkan Ghani setelah gagal memenangi kerusi Gelang Patah pada 5 Mei lalu," kata Kit Siang.

Dalam pada itu, Kit Siang memuji pelantikan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebagai menteri namun beliau berpendapat ada portfolio yang lebih sesuai untuk Khairy.

"Pelantikan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan dilihat tidak adil kerana beliau mempunyai tugas yang lebih berat dalam portfolio yang lain," ujar Kit Siang.