DAP dan Pakatan Harapan menyatakan sokongan mereka terhadap pendirian Kementerian Luar berhubung pengasingan Malaysia daripada kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai situasi kemanusiaan di wilayah Rakhine yang dikeluarkan di New York, pada Ahad.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin, mereka bersetuju mengenepikan perbezaan politik dan bersatu menegakkan pendirian Malaysia bagi menangani segera krisis kemanusian di Myanmar.

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berpendapat, kenyataan Pengerusi ASEAN itu tidak menekan sebarang tindakan segera bagi menangani penghapusan etnik Rohingya di Rakhine.

Beliau kesal dengan tindakan Yangon yang dilihat terus melanggar hak asasi manusia tanpa apa-apa sekatan dari mana-mana pihak, dan asean perlu segera bertindak mencari penyelesaian bagi krisis rohingya.

"Sebagai komuniti bagi negara serantau, ASEAN harus mengambil kedudukan yang lebih kukuh dan aktif bagi mencari penyelesaian kepada krisis Rohingya.

"Mesyuarat tergempar pemimpin ASEAN perlu diadakan, di mana langkah diplomatik yang lebih teguh harus diambil terhadap negara anggota yang bersalah ini," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Antarabangsa DAP, V. Sivakumar pula memaklumkan, kenyataan Pengerusi ASEAN itu dibuat dengan tidak mendapat konsensus ahli ASEAN.

Katanya, ia juga tidak menyuarakan keprihatinan Malaysia yang sememangnya mahu krisis Rohingya ditangani segera.

"Pada masa yang sama, DAP menggesa Wisma Putra untuk menggunakan segala cara yang diplomatik untuk menekan Kerajaan Myanmar bagi mempercepatkan resolusi untuk menamatkan keganasan yang tidak perlu di rantau ini," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar pada Ahad, menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mengasingkan diri daripada kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai situasi kemanusiaan di wilayah Rakhine kerana berpendapat ia memberi gambaran yang salah mengenai realiti keadaan.

BACA: Malaysia asingkan diri daripada kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai Rakhine

Beliau juga berkata, kenyataan itu tidak menyatakan etnik Rohingya sebagai satu daripada komuniti yang terjejas.

Ujarnya, kenyataan itu tidak berdasarkan konsensus memandangkan Malaysia sudah menyatakan kebimbangannya berhubung isu itu tetapi dokumen terbabit tidak mencerminkan keadaan tersebut.