Perdana Menteri membidas tindakan pihak pembangkang meninggalkan Parlimen ketika pembentangan Bajet 2017 semalam dan menganggapnya sebagai tidak menghormati Sistem Demokrasi Berparlimen dan kandungan bajet itu sendiri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembentangan Bajet 2017 itu adalah amalan penting dalam sistem demokrasi berparlimen kerana ia mengandungi pelbagai usaha yang akan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

"Apabila sesuatu bajet itu dibentangkan, walaupun tidak bersetuju atau selaras dengan pendapat kita, namun ia merupakan bajet dalam sistem demokrasi berparlimen, maka ia menjadi bajet untuk rakyat dan negara.

...tetapi kalau mereka (pembangkang) tidak menghormati pembentangan bajet mereka bukan sahaja tidak menghormati demokrasi berparlimen tetapi juga kandungannya yang menghuraikan kandungan untuk rakyat," katanya kepada media Malaysia hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Raja Bhumibol Adulyadej di Grand Palace di sini. Baginda yang menduduki takhta selama 70 tahun sejak 1946, mangkat di Hospital Siriraj di sini pada 13 Okt. -Bernama