Terumbu karang di Selat Melaka kurang dibangunkan kerana airnya yang sangat keruh, sebahagian besar disebabkan oleh pembangunan pantai, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Wan Junaidi berkata zarah terapung yang berada di paras tinggi beserta arus pasang surut yang agak bergelora menyebabkan penembusan cahaya berkurangan di perairan pantai yang menjejaskan terumbu karang.

"Terumbu karang hanya terdapat di perairan yang cetek pada kedalaman kurang 10 meter, terutama di perairan Melaka yang menyaksikan selat semakin sempit dan juga satu antara laluan maritim paling sibuk di dunia," kata beliau.

Wan Junaidi berkata terumbu karang jarang ditemui di sepanjang Selat Melaka, dan kawasan-kawasan yang diketahui mempunyai sistem eko terumbu karang ialah Taman Laut Pulau Payar, Pulau Langkawi dan Pulau Perak di (Kedah); Pulau Jarak (Perak) dan Tanjung Tuan juga dikenali sebagai Cape Rachado yang terletak di sempadan bersama antara Negeri Sembilan dan Melaka.

Ancaman utama kepada terumbu karang di Tanjung Tuan didorong oleh pembangunan pesat pelancongan di sepanjang pantai dan peningkatan pemendapan akibat aktiviti pembersihan, peningkatan pelupusan kumbahan dan sisa domestik, tekanan ke atas terumbu karang akibat kunjungan pelancong di tapak itu, kata beliau.

Wan Junaidi menambah satu lagi spesies yang terancam akibat kemusnahan terumbu karang ialah penyu Karah kerana kawasan pantai dan pulau-pulau di Melaka menjadi habitat penting di Malaysia untuk penyu Karah bertelur.

Ini merupakan populasi bertelur terbesar di Semenanjung Malaysia, yang kedua selepas Pulau Penyu di Sabah.

Kajian oleh Dana Alam Semula Jadi Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia), Jabatan Perikanan dan Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) pada 2008 menjejaki pola migrasi penyu Karah menggunakan teknologi telemetri satelit, kata beliau.

"Kajian mendapati penyu Karah dari Melaka berhijrah ke Kepulauan Riau, Indonesia. Ia tidak menghairankan jika penyu yang telah berhijrah ke perairan Indonesia tidak kembali ke perairan Malaysia jika sumber makanan terus berkurangan di Melaka.

"Oleh itu, pembangunan pantai perlu dirancang dengan teliti dan diuruskan dengan baik untuk memastikan kelestarian terumbu karang di perairan Melaka, inisiatif seperti mengurangkan penggunaan plastik dan melarang pembuangan sampah ke dalam laut akan menghalang pencernaan serpihan marin oleh organisme marin," katanya.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersama-sama dengan Jabatan Taman Laut Malaysia pernah mencadangkan untuk mewartakan dan menguruskan kawasan tersebut sebagai Taman Laut pada 2014 tetapi sehingga kini cadangan itu belum mendapat sokongan atau diterima, kata beliau.

Wan Junaidi berkata Jabatan Taman Laut Malaysia akan meneruskan pewartaan ini kerana ia membolehkan pengurusan kawasan itu dengan sempurna untuk memastikan kelestarian khazanah semula jadi Malaysia itu.

Kementerian menaruh harapan penuh bahawa Tanjung Tuan dan pantai yang menjadi tempat penyu bertelur di Melaka akan mendapat status perlindungan. - BERNAMA