KUALA KANGSAR:Seorang pembantu kedai makan maut terkena renjatan elektrik pada tiang besi khemah di Persiaran Lembah, di sini lewat petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Fauzi Musa, 30, dikatakan jatuh tertiarap di lantai dengan tangan kanan masih memegang tiang besi khemah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Omar Bakhtiar Yaacob, hasil siasatan mendapati salah seorang pelanggan dan pekerja nampak mangsa rebah secara tiba-tiba selepas selesai menghantar makanan.

"Kejadian berlaku lebih kurang pukul 4 petang. Ketika itu hujan sangat lebat dan ada saksi nampak mangsa jatuh tertiarap di bawah khemah dengan tangan kanan masih memegang tiang besi khemah.

"Pekerja yang cuba membantu dengan memegang badan mangsa berkata masih terdapat aliran cas elektrik pada badannya, namun masih bernadi. Renjatan disyaki dari aliran elektrik di tiang khemah kedai.

"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati badannya masih basah bersama-sama pakaian dan muka dan tangan berwarna gelap," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya lagi, mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan hasil bedah siasat mendapati kematian disebabkan serangan jantung akibat renjatan elektrik.

Katanya, mangsa masih bujang dan bekerja sambilan di kedai makan tersebut serta dibayar gaji mengikut hari sejak sebulan lalu, setelah berhenti kerja dengan kontrak pembinaan.

Menurut keluarganya, mangsa tidak mengalami sebarang penyakit dan tiada rekod kritikal dengan hospital.

Omar berkata, kes dibuka dan disiasat mengikut siasatan laporan mati mengejut (SDR).