Hasrat seorang pembantu kedai makan untuk membuat pinjaman wang berjumlah RM10,000 tidak kesampaian apabila dia kerugian RM5,010 akibat diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Kejadian bermula pada 12 Mac lalu semasa mangsa seorang wanita berusia 20 tahun melayari laman web www.jupiterjuta.com.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa yang tinggal di Jengka 8, Maran kemudian menghubungi syarikat berkenaan dan bercakap dengan seorang lelaki bernama Mr Jackson untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan pinjaman wang sebanyak RM10,000.

"Keesokan harinya, mangsa yang bersetuju untuk membuat pinjaman memasukkan wang tunai sebanyak RM850 ke akaun CIMB Bank Jerantut sebagai yuran jaminan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada 14 Mac lalu, mangsa sekali lagi memasukkan wang berjumlah RM2,160 ke dalam akuan yang sama sebagai wang pendahuluan selama enam bulan.

"Pada hari yang sama juga, mangsa memasukkan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun yang sama melalui CIMB Click sebagai upah kepada Mr Jackson untuk urusan pinjaman wang berkenaan," katanya.

Mohd Wazir berkata, pada 15 Mac lalu juga, mangsa memindahkan wang melalui CIMB Click sebanyak RM1,500 ke dalam akaun yang sama kerana suspek mendakwa mangsa melanggar syarat syarikat berkenaan.

"Selepas itu suspek menyatakan akan memasukkan wang pinjaman kepada mangsa ke dalam akaun dalam masa lima minit.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian mangsa menerima panggilan dari seorang lelaki bernama Azman menyuruh mangsa masukan lagi wang sebanyak RM1500 ke dalam akaun yang sama sebagai insuran perlindungan diri," katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak memasukkan wang berkenaan kerana berasa ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit," katanya.