Kerajaan Malaysia sedia maklum mengenai penggantungan visa mudah atau visa ketibaan untuk beberapa negara termasuk Malaysia oleh China.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia adalah langkah kerajaan China bagi menyekat penyalahgunaan visa yang banyak dilakukan agen pelancongan.

“Dilaporkan bahawa kemudahan visa 144 jam pada asalnya bertujuan untuk membantu warga asing yang mempunyai perkara penting masuk China.

“Bagaimanapun, ia telah disalahgunakan oleh ejen pelancongan untuk pengunjung yang datang ke China yang tidak memohon visa normal,” katanya dalam mesej balasan kepada Astro AWANI.

Bagaimanapun katanya, tiada masalah kepada pelancong Malaysia untuk ke negara berkenaan kerana mereka masih boleh menggunakan visa biasa yang boleh dipohon di kedutaan China di Malaysia.

Sementara itu, menurut Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Hamzah Rahmat, langkah itu juga adalah sebagai persediaan untuk China yang bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G20.

Ia katanya, bertujuan mengawal kemasukan pelancong ASEAN sekali gus bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan anggota daish yang menyamar sebagai pelancong dari negara ASEAN.

Penggantungan dijangka ditamatkan selepas sidang berkenaan berakhir.

Mesyuarat ke-11 Sidang Kemuncak G20 dijadualkan berlangsung di Hangzhou pada 4 dan 5 September ini.

Beijing memperkenalkan 'visa mudah 144 jam' bagi pelancong yang memasuki Hong Kong dan Macau untuk meneruskan perjalanan ke wilayah Guangdong di China sejak tahun 2000.

Bagaimanapun kemudahan itu digantung seketika melibatkan Malaysia, Indonesia dan Thailand.