Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu meneliti cadangan pembelian aset lebuh raya Gamuda Bhd, kata pengamal media veteran, Datuk A. Kadir Jasin hari ini.

Menulis dalam akaun Facebooknya, penasihat media kepada Perdana Menteri itu mengambil perhatian bahawa Gamuda merancang untuk menjual aset lebuhraya bertolnya di Lembah Klang kepada kerajaan bagi RM6.2 bilion untuk baki tempoh konsesi.

"Ada yang mengatakan ia urus niaga menang-menang, yang lain tidak begitu yakin. Kalangan yang tidak begitu yakin mengatakan adalah lebih murah untuk membayar pampasan kepada Gamuda bagi tiada kutipan tol daripada membeli empat lebuh raya itu, yang amaunnya kurang daripada harga pembelian yang dicadangkan.

"Bagaimanapun, lebuh raya itu akan kembali kepada kerajaan dalam tempoh 10 tahun apabila tempoh konsesi berakhir," kata Kadir.

Kementerian Kewangan baru-baru ini mengumumkan bahawa ia secara rasmi telah menyerahkan surat tawaran kepada empat pemegang konsesi tol dengan nilai perusahaan sebanyak RM6.2 bilion.

Empat konsesi lebuh raya bertol yang Gamuda mempunyai kepentingan ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

Pecahan harga tawaran adalah LDP bagi RM2.47 bilion, Sprint (RM1.98 bilion), Kesas (RM1.38 bilion) dan SMART (RM369 juta). - BERNAMA