Tindakan sebuah farmasi yang meletakkan syarat perlu membeli produk pembersih tangan terlebih dahulu sebelum dapat membeli topeng muka, diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Khamis pagi.

Serbuan dilakukan jam 9.15 pagi tadi oleh KPDNHEP Cawangan Pasir Mas sebaik menerima aduan daripada orang awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Pasir Mas, Md Asmadi Shafii berkata, sebelum serbuan dilakukan, pihaknya melakukan penyamaran di farmasi terbabit.

Katanya, tujuan penyamaran dilakukan bagi memastikan kesahihan terhadap aduan yang diterima pihaknya.

"Hasil ujian pembelian yang dilakukan, kita dapati barangan tersebut (topeng muka) dijual secara bersyarat iaitu mesti membuat pembelian pembersih tangan (hand sanitizer).

"Sehubungan itu, enam orang pegawai yang diketuai Zubaery Othman melakukan serbuan di premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Beliau berkata, pemilik premis itu seorang lelaki berusia 46 tahun disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Katanya, premis terbabit membuat jualan bersyarat terhadap barang harga terkawal iaitu topeng muka tiga lapisan.

"Ia merupakan kes yang pertama yang membabitkan topeng muka di negeri ini, dan peniaga dinasihatkan untuk menurut arahan yang dikeluarkan.

"KPDNHEP Pasir Mas sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa terhadap peniaga di daerah ini bagi memastikan pengguna tidak terbeban dan tertipu dengan aktiviti perniagaan yang tidak sepatutnya.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pemilik premis terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.