Kerajaan negeri Pulau Pinang menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membuat keputusan berhubung keperluan untuk melakukan pembenihan awan di negeri ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.

Beliau berkata pembenihan awan berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, yang beliau percaya, akan melaksanakan langkah serupa di negeri ini sama seperti di Selangor, sekiranya keadaan cuaca semakin buruk.

"Saya pasti mereka (Kerajaan Persekutuan) sedang memantau keadaan, bermula daripada negeri paling serius seperti Sarawak dan melakukan pembenihan awan di mana perlu, termasuk di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'StepUp Initiative' di Pusat Pembelajaran Karpal Singh di sini.

Berikutan keadaan jerebu, Chow semalam mengumumkan keputusan kerajaan negeri supaya semua aktiviti di luar bangunan dihentikan sehingga keadaan cuaca bertambah baik.

Setakat pukul 3 petang ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga daripada empat buah stesen pemantau mencatatkan paras tidak sihat, iaitu Minden 114, Balik Pulau (107) dan Seberang Jaya (106), manakala IPU di Seberang Perai masih di paras sederhana dengan bacaan 96.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan Pulau Pinang, menerusi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik Pulau Pinang (Penang STEM) melancarkan 'StepUp Initiative' untuk menangani penurunan minat dan standard dalam kalangan pelajar di negeri ini terhadap sains serta matematik.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan menyemarakkan minat pelajar di peringkat menengah rendah terhadap STEM dan memberi inspirasi kepada mereka untuk memilih pengajian dalam aliran sains dari Tingkatan Empat ke atas.

"Statistik menunjukkan kini terdapat pengurangan jumlah kelas sains di sekolah menengah. Ini sesuatu yang mesti dipertimbangkan Kementerian Pendidikan dan Pulau Pinang dapat merasakannya kerana kami sebuah negeri perindustrian dan memerlukan sejumlah besar bakat untuk menyokong industri ini," katanya.

Sungguhpun kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada inisiatif untuk menggalakkan kepentingan STEM, namun usaha sahaja tidak cukup untuk mencapai matlamat itu.

"Kita turut memerlukan kerjasama pihak industri. StepUp Initiative mungkin hanya sebuah program di peringkat rendah, bagaimanapun apabila peserta semakin melangkah ke atas, pusat pembangunan kemahiran lain dan universiti seperti USM (Universiti Sains Malaysia) akan turut memerlukan sokongan dan akhirnya menghasilkan siswazah yang cukup bagi industri kita," katanya.

-- BERNAMA