Kertas Putih Felda yang dijangka merangkumi perincian permasalahan badan itu serta langkah penyelesaian, tidak akan dibentangkan di parlimen, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohd Azmin Ali.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah dinasihatkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempertimbangkan semula cadangan pembentangan Kertas Putih pada 10 Disember 2018.

"Ini kerana AGC berpendapat, beberapa isu perundangan perlu diselesaikan sebelum Kertas Putih tersebut boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, pihak kementerian akan mendapatkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan pembentangan tersebut.

BACA: Kertas putih Felda dibentang selepas Bajet - Azmin

“Demi memastikan keutuhan Kertas Putih Felda, Jemaah Menteri telah bersetuju agar pembentangan Kertas Putih ini ditangguhkan ke sidang Parlimen Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Keempat Belas (tahun 2019).” Katanya.

Pihak kementerian katanya bekerjasama rapat dengan Felda untuk menyediakan Kertas Putih tersebut bagi memberikan gambaran jelas kemelut Felda sekaligus membolehkan pelan pemulihan lebih teratur.

Kertas Putih Felda sepatutnya dibentangkan 10 Disember di Parlimen.