Kerajaan Negeri Pahang hari ini mengumumkan pemberian khas sebanyak RM750 kepada 8,000 penjawat awam negeri ini tanpa pengecualian gred pada Disember ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan ini oleh Kerajaan Negeri.

"Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini diberikan kepada semua kakitangan kerajaan tanpa pengecualian gred kerana pencapaian yang kita perolehi hari ini adalah hasil usaha padu kita semua.

"Pemberian ini bertambah berbanding tahun lepas yang berjumlah RM500," katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan Tahun 2020 Kerajaan Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri dijangka mengutip hasil sebanyak RM744.02 juta pada tahun hadapan iaitu peningkatan sebanyak 5.71 peratus berbanding anggaran pada tahun ini.

"Kutipan hasil tahun 2020 dijangka diperoleh daripada hasil tanah sebanyak RM417.79 juta, hasil perhutanan sebanyak RM165.50 juta, hasil air sebanyak RM3.77 juta, Geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM94.20 juta, dan lain-lain hasil sebanyak RM62.76 juta.

"Belanjawan 2020 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM744.02 juta manakala perbelanjaan mengurus dijangka sebanyak RM739.89 juta dengan lebihan sebanyak RM4.13 juta. Bagaimanapun, jumlah sebenar bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada 2020,” katanya.