Pembersihan tanah runtuh kecil Bukit Nanas

Pembersihan tanah runtuh kecil Bukit Nanas
KUALA LUMPUR:
Kejadian tanah runtuh yang berlaku semalam di Hutan Lipur Bukit Nanas, dipercayai berlaku akibat hujan lebat yang berpanjangan.

Semasa pemantauan oleh Astro Awani, pekerja-pekerja Alam Flora kelihatan sedang membersihkan hakisan tanah di kawasan berkenaan.

Pagar pada hakisan tanah tersebut juga kelihatan tidak stabil. Jalan tersebut telah dibuka balik untuk perjalanan selepas kerja kebersihan telah selesai.

Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan kejadian tanah runtuh ini berskala kecil berbanding kejadian yang berlaku di Putra Heights dan Bukit Setiawangsa baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, jika hujan berterusan tanah berkenaan mempunyai potensi untuk terus runtuh jika tindakan segera tidak diambil.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, kejadian tersebut masih dalam penyiasatan.

Dia berkata Hutan Lipur Bukit Nanas berada di bawah penguasaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Pihak DBKL hanya membantu dalam penyiasatan jabatan tersebut.

Menurut pembantu penguatkuasa DBKL Zawawe Desan semalam, kejadian ini boleh dikatakan berskala kecil kerana ianya tidak melibatkan kerosakkan harta mahupun kecederaan fizikal.

Seramai 15 penguatkuasa terdiri daripada pihak DBKL dan polis ditugaskan bagi mengawal lalu lintas dan kerja pembersihan semalam.

Sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan Kuala Lumpur, masyarakat boleh terus menghubungi bilik gerakan DBKL beroperasi selama 24 jam di talian 03-40220055.