Kerajaan kini dalam proses perancangan membina insinerator atau loji pembakaran sampah 'Waste-to-Energy' (WTE) bagi menampung kekurangan tapak pelupusan di Malaysia.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf insinerator yang sedia ada di tiga negeri -- Negeri Sembilan, Johor dan Melaka -- ke sistem pengurusan sisa pepejal yang baharu.

Katanya, terdapat 148 tapak pelupusan sampah di Malaysia dan 18 daripadanya adalah tapak pelupusan sanitari. Penaiktarafan itu adalah supaya proses pelupusan sisa pepejal lebih bersih selain menjimatkan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan sampah baharu.

"Dengan populasi 32 juta, Malaysia dianggarkan membuang sehingga 38,000 tan metrik sampah setiap hari dan RM1.5 bilion terpaksa dibelanjakan untuk kerja pengutipan sampah setiap tahun.

"Daripada jumlah itu, kadar kitar semula dan pengasingan sisa hanya 24 peratus manakala 76 peratus dihantar ke tapak pelupusan sampah.

"Ini sesuatu yang kita tidak boleh tanggung untuk jangka masa yang panjang. Masalah ini bukan macam masalah jerebu di mana ia akan hilang begitu saja. Sisa pepejal tidak akan hilang secara automatik, ia akan menjadi lebih teruk," kata Raja Kamarul Bahrin Shah selepas melancarkan Kongres Dunia Persatuan Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau turut menyasarkan kadar pengasingan serta pengitaran semula sisa meningkat daripada 24 peratus kepada 30 peratus menjelang tahun 2020.

Pada 24 Sept lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu insinerator WTE dalam tempoh dua tahun bagi menghapuskan sepenuhnya tapak-tapak pelupusan sisa pepejal.

Setakat ini, hanya Negeri Sembilan sedang membina insineratornya dan ia dijangka menjadi negeri pertama yang memulakan sistem pelupusan sisa pepejal baharu.