Pembinaan MRT2 berjalan seperti biasa meskipun kontrak dinilai semula

Pembinaan MRT2 berjalan seperti biasa meskipun kontrak dinilai semula
MMC-Gamuda berjanji untuk mengambil pendekatan terbuka sekiranya rundingan baharu diadakan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pekerja MMC-Gamuda KVMRT meneruskan kerja mereka seperti biasa membina bahagian bawah tanah Laluan 2 Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT2) meskipun projek itu berdepan dengan rasionalisasi kos oleh kerajaan.

Muadh Mohd Nazlee, salah seorang jurutera projek itu berkata, buat masa ini mereka tidak menghiraukan sebarang khabar angin mengenai projek tersebut dan memutuskan untuk terus bekerja seperti biasa sehingga pengumuman selanjutnya dibuat.

"Apa juga keputusannya, kami masih perlu meneruskan kerja dan melakukan yang terbaik," katanya kepada Bernama.

Muadh berkata, para pekerja, termasuk kakitangan Tunnelling Training Academy (TTA) lega dengan pengumuman Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa Kabinet akan mengkaji semula keputusan untuk menawarkan semula tender bahagian bawah tanah projek itu yang belum siap dan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji semula kontrak tersebut.

Pada 7 Okt, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Kabinet memutuskan untuk menamatkan kontrak MMC-Gamuda membina bahagian bawah tanah projek MRT2 dan menawarkan semula tender kerja bawah tanah yang belum disiapkan menerusi tender terbuka.

Beliau berkata projek MRT2 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada kos asal bagi bahagian atas tanah projek tersebut, susulan pelaksanaan tender terbuka.
Bagaimanapun, MMC-Gamuda berkata hampir 20,000 pekerja daripada rantaian bekalan kira-kira lebih daripada 600 syarikat Malaysia akan hilang pekerjaan mereka dengan penamatan kontrak itu.

Lim sebagai reaksinya kepada perkara itu memberi jaminan kontrak bawah tanah MRT2 akan diteruskan tetapi diberikan menerusi tender terbuka pada kos yang lebih rendah.

Muadh berkata para pekerja menyambut baik keputusan kerajaan itu dan mengharapkan yang terbaik bagi setiap pihak yang terlibat dan berharap MMC-Gamuda kekal sebagai kontraktor utama.

"Kami berharap pengurusan kami boleh memberikan tawaran terbaik mereka dan kedua-dua pihak boleh mencapai situasi sama-sama menang. Pendek kata, semua kami di sini masih berharap dan berdoa ia dapat dirundingkan semula," katanya.

Sementara itu, empat menteri, termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, yang dikatakan menjadi ahli jawatankuasa itu akan meneliti semula kontrak bawah tanah MRT2.

Azmin berkata jawatankuasa itu akan mula menilai semula kontrak itu tidak lama lagi "kerana kami tidak mahu menangguhkan projek tersebut" dan mahu membuat keputusan "secepat mungkin".

Beliau juga memberi jaminan perbincangan akan mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi pekerja yang terlibat.

Sementara itu MMC-Gamuda berjanji untuk mengambil pendekatan terbuka sekiranya rundingan baharu diadakan.

Ia memaklumkan bahawa 70 peratus daripada tenaga kerja, terutamanya pekerja mahir dan separa mahir adalah orang tempatan, yang mana 60 peratus daripadanya Bumiputera.

Bukan hanya pekerja yang akan terjejas sekiranya kontrak itu ditamatkan, malah mereka yang berada di bawah program TTA MMC-Gamuda juga akan turut terkesan.

TTA, yang dilancarkan pada Disember 2011 oleh Dr Mahathir, ditubuhkan bagi menampung keperluan kemahiran dan kepakaran membina terowong bagi projek MRT.

Akademi itu, yang melatih pelatih daripada lulusan sekolah menengah hinggalah pemegang ijazah adalah sekolah latihan pertama yang ditubuhkan bagi melahirkan secara khusus tenaga kerja mahir untuk industri terowong, sejajar dengan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

TTA melatih tenaga kerja tempatan dalam bidang pembinaan terowong khusus dan menyediakan ramai pakar bagi menyokong pembinaan projek MRT.

Antara projek terowong khusus yang dikendalikan oleh Gamuda ialah SPRINT Expressway, Terowong SMART, Projek Landasan Kereta Api Elektrik Berkembar dan Kaohsiung MRT (Taiwan).

-- BERNAMA

Tag: MMC-Gamuda KVMRT, tren, MRT2, bawah tanah, pekerja, kerajaan, kontrak


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.