Kerja pembinaan tapak bangunan kampus cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini dijangka dimulakan Oktober ini membabitkan anggaran kos lebih RM120 juta, kata Anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata status semasa bagi fasa kedua kerja pembinaan itu telahpun ditenderkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Jun lalu.

Katanya penyediaan projek fasa pertama iaitu rawatan tanah yang bermula Februari 2016 telah siap sepenuhnya pada 5 Jun lalu itu bagi pelaksanaan kerja pembinaan bangunan di tapak seluas hampir 20 hektar daripada keseluruhan 32 hektar.

"Kos keseluruhan pembinaan kampus UPSI dijangka tidak melebih RM200 juta termasuklah kos lebih kurang RM40 juta projek Fasa 1 bagi ambil alih tanah, pembersihan tapak, tambakan tanah dan rawatan tanah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis penyerahan projek Fasa 1 bagi pembinaan bangunan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) UPSI Kampus Teluk Intan di Batu 4, Changkat Jong di sini hari ini. Turut hadir Pengarah JKR Perak Datuk Jamilol Nasir Saad, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jong Datuk Mohammad Azhar Jamaluddin dan Pegawai Daerah Hilir Perak Shahrunaim Radzali.

Projek pembinaan UPSI ini adalah projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang telah dirancang pada tahun 2011. Semasa pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Teluk Intan pada 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan cawangan UPSI di Teluk Intan.

Mah berkata dengan adanya kampus cawangan UPSI dan institusi pendidikan lain seperti kampus perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional di Teluk Intan, daerah Hilir Perak bakal menjadi satu daripada hab pendidikan negara menjelang tahun 2020.

Sementara itu, Jamilol Nasir berkata Hakikat Engineering Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama, manakala JKR Daerah Hilir Perak bertindak sebagai pasukan penyeliaan yang bertanggungjawab memastikan perjalanan pelaksanaan projek fasa pertama itu.

Difahamkan untuk fasa kedua kerja pembinaan 21 blok bangunan itu akan mengambil masa kira-kira 30 bulan.

-- BERNAMA