Bagi berhadapan dengan kemungkinan kejadian banjir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengarahkan pemborong dan peruncit terpilih menyimpan bekalan 20 peratus melebihi had simpanan normal.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, ia bagi menjamin bekalan keperluan tidak putus semasa banjir berlaku.

"Kadang-kadang apabila banjir melanda, bekalan keperluan sukar untuk didapati dan terpaksa ambil daripada negeri-negeri jiran untuk membantu negeri-negeri yang memerlukan.

"Ini sebagai persediaan bagi menghadapi musim banjir akan datang," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan kos sara hidup di Pasaraya Hero, Taman Tun Dr Ismail, di sini, hari ini.

Antara barangan yang terlibat termasuk bahan petroleum, gas memasak (LPG), minyak masak, beras, tepung gandum, gula dan sebagainya.

Pada masa sama, kementerian telah menambah beberapa barangan lain sebagai barangan keperluan semasa banjir seperti air mineral, biskut kering, mi segera, lampin pakai buang, lilin dan power bank.

2,300 penguatkuasa juga diarahkan memantau pemborong dan peruncit yang mungkin akan menaikkan harga barang pada musim banjir.

Selain itu, KPDNKK turut meminta kerjasama skuad pengguna, penghulu, penggawa, ketua masyarakat, anggota Rela dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memantau situasi berkenaan.

Sementara itu, katanya sejak awal 2015 sehingga kini, 1.8 juta pemeriksaan telah dilakukan KPDNKK di kedai seluruh negara termasuk pada musim perayaan bagi memantau harga barangan.

Sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan pada tahun 2015, sebanyak 214,973 pemeriksaan dijalankan.

528 kes telah dihasilkan dengan jumlah rampasan bernilai RM35,483.00 dengan jumlah kompaun terkumpul sebanyak RM 73,600.00.