Penantian mereka kini berakhir.

Asrama Harian Luar Bandar (AHLB) yang mula dibina pada Mac 2018 kini telah siap dibina sepenuhnya dan membolehkan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Balambangan, Kudat, Sabah untuk mendiaminya.

Dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, majlis penyerahan AHLB itu telah berlangsung pada Sabtu dan dihadiri wakil dari Petronas, ibu bapa dan guru serta pelajar-pelajar sekolah.

Shafie berkata, Kerajaan Negeri Sabah sangat mengalu-alukan usaha murni agensi kerajaan dan badan-badan korporat dalam membela nasib rakyat khususnya dalam menyediakan prasarana pendidikan lebih kondusif, selasa dan selamat untuk masyarakyat luar bandar.

"Ini salah satu amalan yang cukup baik, di mana apabila sebuah syarikat itu keuntungannya disalurkan kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk dapat membantu masyarakat khususnya yang agak jauh ketinggalan," ujar Shafie.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri komited menjalinkan kerjasama berterusan dengan Petronas terutamanya dalam membangunkan masyarakat di Sabah terutama memberikan akses pendidikan lebih baik kepada rakyat luar bandar, seperti penduduk di Pulau Balambangan.

 Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman menyerahkan replica kunci sebagai tanda penyerahan AHLB kepada Faridah Yang Razali sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Syafie Abdal , Menteri Pelajaran Dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Yusof Yacob dan Presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Pada majlis tersebut pelajar-pelajar juga diberikan sumbangan seperti beg dan baju sekolah untuk dimanfaatkan pada masa akan datang.

Sebelum ini, asrama yang ada di sekolah tersebut tidak mampu menampung pelajar yang ramai selain hakikat mereka yang tinggal di rumah terpaksa berjalan kaki meredah hutan serta menaiki bot seawal jam 5 pagi.

Sekiranya cuaca buruk atau ombak besar, pelajar-pelajar tersebut tidak akan dapat ke sekolah dan sekali gus menyebabkan mereka tertinggal apa yang diajar oleh guru.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Syafie Abdal menyarungkan beg sekolah kepada pelajar SK Balambangan

BACA: AHLB beri sinar baharu buat pelajar SK Balambangan Banggi

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menyatakan bahawa Petronas sangat komited untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan.

"Petronas komited untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan dan telah menyokong inisiatif di negeri ini yang mendapat manfaat lebih daripada 6,000 pelajar di Sabah," katanya ketika memberi ucapan pada majlis penyerahan.

Objektif utama AHLB ini dibina ialah untuk memberi tempat tinggal yang selesa di samping menjamin keselamatan pelajar sekolah tersebut.