Cadangan melanjutkan waktu operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini kepada 24 jam perlukan persetujuan bersama dengan kerajaan Thailand, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata pembukaan pintu sempadan untuk tempoh 24 jam berbanding 18 jam ketika ini perlu terlebih dahulu melihat kepada kesediaan Thailand untuk melaksanakan operasi bagi tempoh yang sama.

"Kalau kita buka 24 jam tetapi Thailand tutup macam mana... dari segi infrastruktur kita sudah bersedia untuk buka pintu sempadan untuk tempoh 24 jam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat Tapak Projek Pembinaan Secara Bersepadu ICQS fasa kedua yang dijangka siap pertengahan 2019 dan berpuas hati dengan pembinaan kompleks tersebut yang 10 peratus lebih cepat dari jadual asal.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan operasi 24 jam itu akan bermula pada 1 Jan 2019.

Mohd Azis berkata fasa kedua melibatkan kos RM133 juta itu telah 39 peratus siap iaitu 10 peratus lebih cepat daripada jadual asal dan apabila siap nanti akan memudahkan lagi perjalanan keluar masuk rakyat Malaysia dan Thailand di antara kedua-dua negara.

"Ia merangkumi kemudahan, keselesaan dan paling dititiberatkan adalah faktor keselamatan," katanya dan menurutnya beliau tidak mahu hanya kemudahan di ICQS sahaja yang dititiberatkan tetapi masih banyak kes bolos yang berlaku.

Sementara itu ketika ditanya berhubung hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini, Mohd Azis berkata pihak Kementerian Dalam Negeri akan patuh dan menguatkuasakan setiap undang-undang yang digubal kerajaan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

-- BERNAMA