Pembukaan Jajaran Sri Damansara Link (SDL) bermula pukul 12 tengah malam ini melengkapkan pembinaan projek Lebuhraya Duta Ulu Kelang Fasa 2 (Duke 2).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia sekali gus dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di persimpangan Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Jelasnya, jajaran lebuh raya sepanjang 7.4 kilometer itu menghubungkan MRR2 dengan Lebuhraya Duke sedia ada di Jalan Segambut.

Jajaran itu menghubungkan Persimpangan Bertingkat Manjalara menghala ke Timur untuk berhubung dengan Persimpangan Bertingkat Segambut.

"Di samping membina jalan ini, pihak syarikat juga telah menaik taraf jalan dari empat ke enam lorong. Ini membantu meleraikan trafik.

"Kita tahu kawasan ini agak sesak, bukan sahaja di Sri Damansara, Segambut, Rawang dan sebagainya. Sekarang kalau dari mana-mana, atau ke Kuala Lumpur, mengikut jalan ini, akan menjimatkan masa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jajaran SDL di sini hari ini.

Jelasnya, kawasan rehat dan rawat Segambut (Segar) juga dibina untuk pelbagai tujuan dan merangkumi plaza tol, parkir, ruang komersil dan jambatan persimpangan yang dibina khas.

"Segar juga bakal dilengkapi dengan stesen KTM Komuter baru untuk memastikan integrasi sepenuhnya di antara lebuhraya dan sistem pengangkutan awam.

"Kemudahan 'Park and Ride' di Segar akan menyediakan lebih 300 tempat letak kereta dan berpotensi untuk diperkembangkan untuk menampung lebih daripada 4,000 kereta di masa depan," jelasnya.

Sempena majlis pembukaan, pihak konsesi menawarkan tol percuma kepada pengguna di Plaza Tol Segambut selama sebulan mulai hari ini sehingga 22 November 2017.

Kutipan tol akan bermula pada 23 November 2017 bermula jam 12:01 pagi.