Pembukaan sektor ekonomi yang bermula 4 Mei lepas berjaya membantu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Begitupun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sepantas mana ekonomi negara pulih bergantung kepada kepantasan negara mengatasi pandemik COVID-19.

Menurutnya, langkah awal kerajaan sekarang adalah dengan membuka ekonomi dan membenarkan banyak sektor kembali beroperasi.

“Masa kita buka ekonomi, kita dah kaji dan telah menepati enam syarat ditetapkan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).

“Kita dah ratakan lengkung dan kita tahu sistem keselamatan negara mampu membendungnya.

“Ini memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk buka semula ekonomi,” katanya kepada media selepas Lawatan Kerja Ke Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) pada Jumaat.

Hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei 2020.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lepas.

Menurutnya, Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID-19.