Pengusaha tadika dan taska seluruh Sarawak diarahkan untuk mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan semula tadika dan taska seluruh negara hari ini.

Sekiranya gagal mematuhi amalan normal baharu ini, mereka boleh diarahkan tutup serta-merta.

Demikian tegas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Ujarnya, pemantauan kepada pematuhan SOP akan dijalankan pasukan-pasukan khas agensi yang terlibat.

“Ada agensi yang bertanggungjawab membuat pemantauan, sekiranya tidak ada pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP) kita akan suruh tadika atau taska tersebut ditutup," tegasnya.

Antara agensi terlibat dalam menjalankan pemantauan termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang melakukan pemantauan terhadap tadika KEMAS, Kementerian Perpaduan Negara untuk tadika perpaduan serta prasekolah dan tadika swasta dipantau oleh Jabatan Pendidikan.

Jelasnya lagi, bagi mengurangkan kegusaran ibu bapa, semua aktiviti fizikal tidak dilaksanakan malah semua tadika hanya menumpukan kepada aktiviti induvidu.

“Mereka (operator tadika dan taska) tidak lagi menganjurkan aktiviti berkumpulan malah lebih menumpukan kepada aktiviti individu dan duduk di tempat masing-masing.

“Ini bagi mengurangkan kerisauan dan kegusaran ibu bapa dan penting untuk kita memastikan anak-anak kecil ini boleh mengamalkan SOP yang digariskan,” tambahnya.

Sejumlah 2,385 daripada jumlah keseluruhan 2,865 buah tadika dan taska di seluruh Sarawak kembali beroperasi pada Rabu.

Ia melibatkan 78,225 kanak-kanak, 5,400 guru dan 3,358 pembantu guru.