Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan pihaknya ada menerima permohonan daripada pihak peguam yang mewakili dua suspek wanita warga Indonesia dan Vietnam yang terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, untuk mendapatkan rakaman CCTV dan kertas siasatan bagi empat suspek warga Korea Utara.

Beliau berkata, PDRM tidak akan menyediakan apa-apa dokumen sekiranya permohonan tidak dibuat oleh mereka dan permohonan hendaklah dilakukan melalui perintah mahkamah.

“Adakah mereka sudah membuat permohonan? Jika sudah, mungkin permohonan itu tidak dibuat kepada pegawai polis yang sepatutnya.

"Mustahil (tidak menyediakan dokumen) kerana kami sentiasa bekerjasama dengan peguam dan mereka boleh tanya atau tulis permohonan secara rasmi kepada kami,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Kriminologi Kewangan (ICFC) 2017 ke-8 di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, PDRM berhak menentukan jenis dokumen yang boleh disediakan pihaknya selepas mendapat kelulusan daripada Peguam Negara.

Mahkamah Majistret Sepang pagi tadi menetapkan 30 Mei depan sebagai sebutan semula kes dua warga asing yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.