Negara-negara Arab yang majoriti penduduknya beragama Islam sepatutnya menunjukkan nilai murni dan terpuji kepada negara-negara lain.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui, kejadian pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi memberi imej buruk kepada negara Islam.

“Pembunuhan bukanlah satu cara penyelesaian (kepada masalah). Sepatutnya ia tidak berlaku.

“Tetapi kita (negara Islam lain) cuma boleh turut apa yang dilaporkan dalam akhbar. Kita sendiri tidak ada maklumat terperinci atau membuat kaji selidik kerana itu bukan tugas kita.

“Kita harap, dalam dunia (negara) Arab majoritinya orang Islam, mereka akan berlagak sebagai orang Islam, iaitu tidak ada pembunuhan dan sebagainya,” ujar beliau pada sidang media bersama wakil media Malaysia, mengakhiri lawatan dua harinya di Thailand hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya apakah mesej beliau kepada Arab Saudi susulan kematian Khashoggi yang dilihat bakal mencetuskan krisis negara-negara Liga Arab.

Kematian Khashoggi mencetuskan pelbagai spekulasi apabila selama dua minggu, Saudi menafikan sebarang penglibatan dalam kes kehilangan Khashoggi, 59 tahun.

Bagaimanapun, pada pagi Sabtu lalu, ia mengesahkan pengkritik lantang Putera Mahkota terbabit terbunuh dalam pergaduhan di konsulat Saudi di Istanbul.