Bermula hari ini (Rabu), pemegang lesen memandu dikecualikan daripada memperbaharui lesen bagi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Mereka bagaimanapun, perlu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

Wee dalam kenyataan pada Selasa berkata beliau menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dengan memberikan pengecualian itu kepada semua pemegang lesen memandu.

Beliau berkata langkah itu diambil kerana menyedari kesukaran orang ramai untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan dan individu termasuk lesen vokasional (GDL dan PSV) dan Competent Driver's License (CDL).

"Sebelum ini pemegang lesen memandu individu diminta untuk memperbaharui lesen secara atas talian melalui portal mySikap JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan MyEG sepanjang tempoh PKP tetapi dengan pengumuman di atas, syarat keperluan untuk memperbaharui lesen memandu ini telah dikecualikan bagi tempoh PKP.

"Walaupun dengan adanya pengecualian khas ini, pemandu dinasihatkan membawa salinan sijil perlindungan atau e-cover note insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP.

"Sesiapa yang mempunyai lesen memandu yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan itu wajib memiliki perlindungan insurans yang sah," katanya.

Bagi Lesen Kenderaan Motor untuk kenderaan perdagangan dan GDL, kementerian memutuskan isu berhubung keperluan mendapatkan kelulusan daripada PUSPAKOM dan pemandu kenderaan perdagangan bagi memperbaharui GDL serta laporan kesihatan yang sah, sepertimana yang diperlukan dalam syarat-syarat permohonan pembaharuan lesen kenderaan komersial tidak lagi berbangkit.

Wee menjelaskan keperluan untuk memperbaharui lesen itu dikecualikan sepanjang tempoh PKP.

Namun, pemilik kenderaan perdagangan perlu memperbaharui LKM masing-masing dan adalah tertakluk kepada keperluan dokumen kelulusan yang berkenaan dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas kementerian mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful Malaysia.

Jumlah pemegang lesen GDL yang akan tamat tempoh sah adalah sebanyak 328 pada 24 Mac; 385 (25 Mac); 356 (26 Mac); 357 (27 Mac); 348 (28 Mac); 315 (29 Mac); 369 (30 Mac); dan 295 (31 Mac).

-- BERNAMA