AHAD lalu, saya berkesempatan untuk menggunakan Light Rapid Transit (LRT), salah satu pengangkutan awam utama di Kuala Lumpur. Setelah sekian lama, kami mengambil keputusan naik LRT Ahad lalu, untuk lari daripada kesesakan lalu lintas dan menikmati keindahan kota raya ini. Saya juga sedar, sudah 14 tahun saya menggunakan LRT, semenjak di bangku sekolah menengah.

Bulan Februari 2019, dua isu mendapat perhatian rakyat mengenai pengangkutan awam. Pertama, insiden samun dan pukul seorang wanita dalam lif di MRT. Kedua, kerosakan LRT Kelana Jaya menuju ke KLCC yang mengganggu jadual harian 20 000 penumpang. Kedua-dua isu ini berlaku di stesen pengangkutan awam, selalu digunakan dan penting buat warga kota.

Sebagai pengguna pengangkutan awam semenjak bangku sekolah lagi, saya dapati ada yang masih sama dari dahulu hingga sekarang berkenaan isu pengangkutan awam, khususnya LRT. Namun, saya tidak pernah menafikan pembaharuan yang sedia ada.

Pertama, isu keselamatan di stesen LRT masih membimbangkan. Kekurangan polis bantuan di setiap stesen LRT memberi kekurangan kepada aspek keselamatan pengguna. Ketiadaan polis bantuan di stesen LRT memberi ruang kepada mereka yang mempunyai niat jahat melakukan operasi jenayah mereka.

Kedua, waktu LRT tiba juga agak lewat. Saya tidak tahu penumpang lain, tetapi menunggu lebih daripada enam minit itu agak lama. Kelajuan gerabak LRT yang agak perlahan dan tidak konsisten kadangkala boleh menimbulkan rasa kurang senang penumpang, khususnya mereka yang kesuntukan masa. Sebab itu, orang awam memilih kenderaan sendiri daripada pengangkutan awam.

Ketiga, saya perlu akui, pemandangan Kuala Lumpur juga perlu ditambah baik. Kekotoran sungai Klang dan Gombak merupakan persekitaran yang sama 14 tahun lalu. Pemandangan ini memberi sedikit kekurangan kepada pengguna LRT. Apa sudah jadi dengan projek ‘River of Life’ yang berjumlah RM 4.4 bilion? Nampaknya, jumlah sebesar ini tidak mendatangkan apa-apa pulangan untuk keindahan sungai semula.

Perubahan positif yang saya dapat lihat dalam LRT semalam ialah sikap mulia yang ditonjolkan penumpang muda. Mereka mempelawa warga emas atau individu yang memerlukan untuk duduk dalam LRT, sehingga dua tiga orang bangun demi menyantuni warga emas.

Tetapi, nilai positif ini gagal diterjemahkan dalam aspek kecekapan pengangkutan awam itu sendiri. Rugilah jadinya!

Peluang sentiasa ada untuk menambah kecekapan pengangkutan awam. Pertama, rondaan polis bantuan perlu dipertingkatkan di setiap stesen. Seramai 900 orang polis bantuan di 60 setesen LRT dan 1,300 orang polis di MRT. Sungguhpun jumlah ini banyak, tetapi kekerapaan anggota di setesen perlu dipertingkatkan.

Di Perth Australia, pihak polis guna pendekatan ‘evidence based policing’, meningkatkan jumlah rondaan selama 13 minit di kawasan panas jenayah sehari, termasuk di stesen kereta api. Kaedah ini telah menurunkan kadar jenayah sebanyak 22% pada tahun 2018 di bandar Armadale, Perth. Mungkin kerajaan boleh mengkaji kaedah ini, bukan hanya menambah anggota keselamatan sahaja.

Kedua, pertingkatkan kecekapan perkhidmatan. Pada tahun 2016, Prasarana mengumukan peruntukan RM250 juta untuk menaik taraf pencawang elektrik LRT laluan Kelana Jaya bagi mengatasi gangguan teknikal, tetapi isu gangguan perkhidmatan ini masih berlarutan.

Ketiga, saya berpendapat waktu operasi LRT perlu dipanjangkan. Operasi LRT selalunya akan berakhir pada sekitar jam 11.00 malam dan kereta api terakhir dijangkakan paling lambat ditutup pada jam 12.45 pagi. Operasi boleh dilanjutkan sehingga jam 2.00 pagi bagi memberi ruang kepada pekerja yang bertugas malam turut menggunakan LRT. Kawalan pemanduan LRT menggunakan teknologi komputer seperti laluan Kelana Jaya – Gombak mampu memanjangkan operasi LRT dengan penambahan perjalanan LRT. Begitu juga dengan perkhidmatan bas di Kuala Lumpur, perlu ditingkatkan waktu operasinya.

Pengalaman saya bersama keluarga pada Ahad lalu hanyalah pengalaman sehari menggunakan pengangkutan awam, tetapi ia refleksi kepada pengalaman 14 tahun lalu ketika menggunakan LRT. Suka-duka dan kenangan di dalam LRT sememangnya masih tersipan dalam memori fikiran. Pernah terlintas di minda untuk membawa pembangunan LRT ini rentas sempadan, di negeri-negeri lain, bagi membantu orang muda mendapat akses yang lebih baik dan dapat mencari kerja. Tetapi, perkara ini sukar berlaku selagi perkhidmatan pengangkutan awam masih bermasalah.


* Fakhrurrazi Rashid adalah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA)

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.