Pemeriksaan penyenggaraan rutin cerun di jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia tidak dijalankan sejak tujuh tahun lepas kerana kekangan peruntukan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3.

Menurut laporan itu, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) di bawah Jabatan Kerja Raya, perlu menjalankan pemeriksaan penyenggaraan rutin sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun bergantung kepada tahap bahaya serta risiko cerun yang telah dikenal pasti.

"Pemeriksaan ini perlu dilaksanakan untuk menentukan keperluan bagi kerja pencegahan cerun. Semakan Audit mendapati, pemeriksaan pernah dijalankan pada tahun 2007 hingga 2012 namun ia tidak diteruskan lagi atas arahan Pengarah CKC pada April 2013 akibat kekangan peruntukan," kata laporan itu.

Menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa, terdapat 946 cerun berisiko sangat tinggi di jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia setakat 2010 dengan skop pencegahan terbahagi kepada cerun tanah dan cerun batuan.

Pihak Audit dimaklumkan bahawa CKC telah membuat perancangan untuk melaksanakan kerja pencegahan cerun bagi kesemua 946 cerun dengan jumlah kos sebanyak RM200 juta bagi tempoh 2018 hingga 2020.

Pahang antara negeri tertinggi mempunyai cerun berisiko sangat tinggi (276 cerun) selain Perak (176) dan Kelantan (105).

Laporan Ketua Audit Negara turut menyebut, semakan mendapati hanya 56 cerun (5.9 peratus) daripada 946 telah dijalankan kerja pencegahan bagi tahun 2018.

"Semakan Audit mendapati, bagi tahun 2018, peratus cerun diselenggara adalah rendah berbanding perancangan disebabkan kontraktor tidak berupaya untuk melaksanakan keseluruhan kerja yang dirancang. Keadaan ini akan memberi risiko yang tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya," demikian menurut laporan itu.

Audit kemudian mengesyorkan perlunya disediakan garis panduan terperinci untuk meningkatkan kecekapan pengurusan cerun, mengkaji semula prestasi kontraktor yang dilantik bagi kerja pembaikan dan pencegahan cerun.

-- BERNAMA