Lain dicari, lain pula yang datang.

Dua pemikat burung yang sedang menunggu jerat mereka mengena terkejut apabila perangkap yang dipasang itu dimasuki tetamu tidak diundang.

Dalam kejadian lewat petang semalam, kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang 9 meter dengan berat lebih 100 kilogram itu nyata mengejutkan mereka.

Akibat panik, salah seorang pemikat burung terbabit bertindak membaling parang yang berada di tangannya lalu mengenai kepala reptilia itu mengakibatkan haiwan pemangsa itu mati.

Ular itu kemudian diseret ke kepala jalan di Kampung Selamat, Mukim Teloi, Sik sebelum ia diserahkan kepada pasukan Bridget Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), untuk tindakan lanjut.

Menurut Pengerusi BSYJM, Mahadzir Abdul Hamid, ular sawa itu kemudiannya ditanam selepas memaklumkan kejadian serta penemuan reptilia itu kepada Jabatan Perhilitan Daerah Sik.

Jelasnya, ini kejadian pertama ular sawa batik bersaiz besar dijumpai di daerah itu.

Beliau menasihati penduduk, terutama petani dan pemikat burung, supaya berhati-hati ketika memasuki hutan kerana musim lembab ketika Ini mengakibatkan reptilia itu berkeliaran untuk memburu makanan.