Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Che Gu Bard menasihatkan anggota kumpulan pemikir pasukan Keadilanraya, Eekmal Ahmad supaya mendapatkan maklumat lengkap sebelum membuat kenyataan.

Badrul berkata dakwaan yang dibuat Eekmal bahawa calon timbalan presiden, Datuk Saifuddin Nasution Ismail masih memegang jawatan Setiausaha Agung PKR biarpun bertanding pada pemilihan kali ini adalah tidak tepat.

Katanya, Saifuddin telah pun memaklumkan kepada PKR bahawa beliau bercuti dari menjalankan tugasnya sebagai setiausaha agung sebaik saja mengesahkan menyertai pertandingan dan tidak lagi menghadiri mesyuarat biro politik.

"Pada 10 April, Saifuddin sudah menghantar surat kepada parti memaklumkan bahawa beliau bercuti dari menjalankan tugasnya sebagai setiausaha agung.

"Sebaik saja Saifuddin umumkan beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden, beliau tidak lagi menghadiri mesyuarat biro politik," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Saifuddin berbeza dengan Xavier Jayakumar yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR.

"Sehingga hari ini, Xavier masih tidak bercuti atau melepaskan jawatan sebagai biro politik lantikan dan masih menghadiri mesyuarat biro politik.

"Xavier dalam pasukan Azmin, jadi lebih baik Eekmal nasihatkan Xavier supaya bercuti dari jawatan lantikannya itu dan tidak menghadiri mesyuarat biro politik," katanya.

Badrul juga meminta Eekmal memahami tugas setiausaha agung parti sebelum membuat kenyataan kepada mana-mana media.

Katanya, setiausaha agung hanya membentangkan laporan mengenai perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) ketika kongres parti diadakan.

"Bagi laporan proses pemilihan pimpinan parti, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Jo (Johari Abdul) akan membentangkan laporan ketika kongres PKR nanti, bukan setiausaha agung.

"Pemilihan dikendali JPP, jadi bukan setiausaha agung yang akan bentangkan laporan kepada perwakilan yang menghadiri kongres," katanya lagi.

Pada Ahad, Eekmal memberitahu Astro AWANI bahawa secara peribadi beliau berpendapat Saifuddin perlu meletak jawatan sebagai setiausaha agung kerana bertanding merebut jawatan timbalan presiden.

Eekmal bagaimanapun menegaskan pandangan itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak menjadi satu kesalahan untuk Saifuddin terus memegang jawatan setiausaha agung biarpun bertanding dalam pemilihan parti.