Dua lelaki ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan politik wang RM20,000.

Dua lelaki itu disyaki meminta rasuah daripada seorang calon yang bakal bertanding dalam pemilihan PKR Kedah pada 22 September ini.

Suspek pertama berusia 48 tahun ditahan jam 12.20 tengah hari, kelmarin di sebuah restoran di Alor Setar, manakala suspek kedua berusia 46 tahun ditahan jam 3.25 petang di Plaza Tol Pendang Lebuhraya Utara-Selatan.

Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa meminta rasuah RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 58 tahun itu sebagai dorongan untuk memastikan namanya kekal bertanding dalam pemilihan tersebut.

Sebelum itu, suspek memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada senarai nama calon, namun boleh dikekalkan jika membayar suapan berkenaan.

Susulan penahanan tersebut, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

BACA: Politik wang: Dua lelaki ditahan SPRM

Kedua tertuduh yang memakai baju-T berwarna biru muda dan biru laut dilihat tiba di Mahkamah Majistret 3, di sini dengan diiringi anggota SPRM kira-kira pukul 9.45 pagi.

Perintah tahan reman sehingga 21 September ke atas suspek dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16a (A) Akta SPRM 2009.