Pemilihan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah hanyalah lakonan semata-mata dan perdebatan antara mereka tidak akan wujud.

Demikian pandangan yang dilontarkan KetuaPegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Menurut beliau, perdebatan untuk jawatan presiden parti seperti yang dicadangkan oleh bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff adalah bagus jika barisan kepimpinan memandang serius pertandingan ini.

"Jika kepimpinan PKR pandang serius terhadap konsep demokrasi, jadi mereka patut adakan perdebatan ini. Perkara ini memang diminta oleh Pakatan Rakyat sendiri. Tetapi saya berpendapat perdebatan ini tidak akan berlaku," kata Wan Saiful.

Wan Saiful berpendapat pemilihan presiden PKR kali ini bukanlah pemilihan yang benar dan beliau menyifatkan situasi ini sebagai 'lakonan yang amat baik'.

"Wan Azizah adalah proksi kepada Anwar. Selepas Anwar keluar penjara dahulu, Wan Azizah menarik diri daripada menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar. Dan kini sekali lagi Wan Azizah buat perkara sama untuk Anwar," tambahnya.

Walau bagaimanapun, menurut Wan Saiful, jika perdebatan ini berlaku, ia tidak akan diambil serius, malah ia akan menjadi 'sekadar jenaka'.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff mencadangkan agar calon Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail berdebat menjelang pemilihan parti itu akhir bulan ini memandangkan parti itu selama ini selalu menggesa amalan debat dalam politik negara dengan alasan ia menyuburkan demokrasi yang sihat.

Dalam satu laporan berita oleh Malaysiakini pada Rabu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu bahawa beliau tidak berminat untuk menyertai debat antara calon timbalan presiden PKR yang dianjurkan NGO dan aktivis sosial Ahad ini.

Menurut laporan itu, Khalid memberi alasan bahawa semua calon jawatan tersebut tidak berada di Kuala Lumpur selain PKR tidak mempunyai stesen televisyen untuk menyiarkan sesi perdebatan tersebut.

Namun demikian, debat anjuran Posto dan Radio Bangsar Utama yang bertajuk ' Wacana Timbal Timbalan Presiden PKR’ itu telah pun dibatalkan.

Pemilihan PKR akan bermula pada 26 April dan berakhir pada 11 Mei dimana seramai 496,923 anggota yang layak mengundi akan menentukan kepimpinan parti tersebut.