Pemilik bangunan tinggi disaran tukar salutan tidak mudah terbakar

Pemilik bangunan tinggi disaran tukar salutan tidak mudah terbakar
Panel komposit aluminium dipasang sebagai kemasan akhir pada bahagian luar atau seni reka bentuk sesebuah bangunan seperti menara atau pejabat komersial. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang pakar bahagian luar bangunan menyarankan supaya pemilik bangunan tinggi, terutamanya yang berusia lebih 20 tahun, menukar panel komposit aluminium atau salutan bangunan kepada jenis tidak mudah terbakar sebagai langkah mempertingkatkan lagi aspek keselamatan premis.

Pengarah Urusan Facade Concept Design Sdn Bhd Shaiful Lizan Samsuri berkata tindakan itu bertujuan mengurangkan risiko kebakaran seperti yang berlaku di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Petaling Jaya, Selangor, pada Selasa.

"Kebanyakan bangunan lama di negara ini menggunakan komposit panel daripada 'polyethylene foam' yang tidak tahan api. Aluminium komposit panel ini tiga lapis di mana teras dalam aluminium itu yang bersifat mudah terbakar apabila terkena percikan api.

"Tetapi untuk bangunan tinggi yang baharu dan moden zaman sekarang, kebanyakan mereka guna bahan gred B1 yang tidak mudah terbakar," katanya kepada Bernama pada Rabu.
Bangunan pejabat KWSP berusia 58 tahun yang terbakar Selasa dipercayai berpunca daripada percikan api semasa kerja penyenggaraan sedang dijalankan di tingkat satu bahagian luar bangunan itu.

Bangunan berkenaan juga didapati menggunakan bahan pelapis iaitu 'polyfoam' yang mudah terbakar serta tidak diluluskan pihak berkuasa, menurut Bomba.

Shaiful Lizan berkata panel komposit aluminium dipasang sebagai kemasan akhir pada bahagian luar atau seni reka bentuk sesebuah bangunan seperti menara atau pejabat komersial, kompleks beli belah, hotel dan pusat konvensyen.

"Selain bahan gred B1, panel komposit aluminium ini terdapat dalam gred B2 dan A2. Ciri-ciri B2 hampir sama dengan B1, masih boleh terbakar tetapi lambat, sementara ciri gred A2 memang tidak boleh terbakar serta tahan kepanasan sehingga 1,500 darjah Celsius.

"Setakat ini, kapasiti SIRIM (Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia) mengeluarkan sijil bagi produk B1 sahaja sebab belum ada makmal bagi gred yang lain," jelasnya.

Sebagai pakar perunding bahagian luar bangunan dan kejuruteraan arkitek bertaraf global, Shaiful Lizan berkata syarikatnya memastikan kontraktor yang menggunakan khidmat mereka menyesuaikan material bahan dengan struktur serta ciri-ciri reka bentuk bangunan.

"Sesetengah projek mewah yang sangat mementingkan keselamatan, kita akan cadangkan agar menggunakan gred B2 atau A2 dalam projek-projek tertentu seperti hotel-hotel ternama. Di Malaysia biasanya gred B1 sudah memadai serta menepati piawaian Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Secara amnya, kontraktor boleh memilih alternatif untuk menggunakan panel komposit aluminium mengikut gred dan lingkungan harga. Apa yang jelas, panel daripada 'polyethylene foam' memang lebih murah," katanya.

Bagaimanapun, menurut Shaiful Lizan ada bangunan tertentu yang kurang berisiko kemalangan boleh menggunakan panel komposit aluminium tidak tahan api yang kebiasaannya adalah bangunan tiga tingkat dan ke bawah.

-- BERNAMA