Seorang pencuci kereta menjadi suspek terbaharu direman pihak polis kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang pemilik bengkel kereta di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, 12 September lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 26 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadhirah Abdul Rahim selama lima hari bermula hari ini sehingga 26 September bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisner Adzli Abu Shah menjelaskan, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ketika berada dalam keadaan mencurigakan di bahagian tepi jalan di Taman Sejati, malam tadi (Isnin).

Suspek yang menyedari kehadiran pihak polis kemudian cuba melarikan diri sebelum berlaku sedikit pergelutan antara polis dan suspek.

Jelas Adzli, polis kemudiaannya berjaya menahan suspek sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi ini bagi mendapatkan perintah reman.

BACA: Bunuh pemilik bengkel kereta, empat lelaki direman

Khamis lalu, empat lelaki berusia 30 hingga 36 tahun direman empat hari kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang pemilik bengkel.

Keempat-empat suspek berjaya ditahan selepas dikesan JSJ IPD Kuala Muda berada di Pulai, Johor.

Kesemua mereka yang sebelum itu telah melarikan diri selepas dipercayai membunuh mangsa di bengkel kenderaan di Bandar Amanjaya, kemudiaannya dibawa ke IPD Kuala Muda.

Dalam kejadian yang berlaku 12 September lalu, seorang pemilik bengkel maut ditetak dalam kejadian di bengkel mengecat kereta miliknya di Bandar Amanjaya Zon Anggerik kira-kira jam 1.10 pagi.

Adzli kemudiaanya mengesahkan mangsa yang berusia 33 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan tangan.

Menurutnya, mangsa diserang oleh beberapa individu menggunakan senjata tajam berkemungkinan bermotifkan balas dendam dan dipercayai tiada kaitan dengan kes rompakan.

Ketika kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan parah cuba melarikan diri ke kedai besi bersebelahan sehingga mengejutkan dua pekerja warga asing yang sedang tidur.

Bagaimanapun, setelah dua pekerja asing itu memeriksa kawasan sekeliling mereka, mereka menemui mangsa yang sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.