Kerajaan mengalu-alukan mana-mana pemilik hotel untuk mewartakan premis mereka sebagai pusat kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang berminat boleh menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Kerajaan sedia menawarkan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada pemilik hotel berkenaan.

"Kepada mana-mana (pemilik) hotel yang berminat untuk terlibat sama dan menjadikan premis sebagai hotel kuarantin dan sebagainya sila hubungi NADMA.

"Saya harap banyak hotel yang tampil membantu sebab kerajaan sendiri mengumumkan pengecualian cukai SST di negara kita. Kita harap hotel boleh kerjasama dengan kerajaan dalam soal ini," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, setakat 17 April 2020, sebanyak 190 Pusat Kuarantin telah beroperasi berbanding 185 pada hari sebelumnya, yang mana 17,008 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

"Semalam (17 April 2020) seramai 1,589 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib. Seramai 11,861 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020," ujarnya.