Pemilik kilang Jeruk Madu Pak Ali di Pulau Pinang kerugian RM100,000 setelah premis yang beroperasi di Simpang Ampat dipecah masuk dua penyamun bertopeng.

Kejadian itu disedari pekerja di kilang berkenaan kira-kira jam 9 pagi Ahad setelah mendapati siling di dalam kilang tersebut jatuh ke lantai dan barangan di ruang pejabat berselerak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Shafee Abd Samad berkata pekerja kilang terus membuat pemeriksaan lanjut dan mengesyaki ia telah dipecah masuk.

Shafee berkata pekerja itu mendapati peti besi yang berada di dalam pejabat telah dipecahkan dan wang tunai kira-kira RM100,000 hilang.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang berkenaan, dua lelaki bertopeng dan berbaju lengan panjang serta bersarung tangan dilihat berada di tempat kejadian pada jam 12.17 tengah malam.

Menurut Shafee, siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk kilang berkenaan dengan cara mengumpil atap genting dengan alat kuku kambing.

Selepas menggeledah pejabat kilang berkenaan, suspek bertindak memecahkan peti besi dengan menggunakan mesin penebuk dinding.

Shafee berkata hasil soal siasat, tiada pekerja yang bertugas semasa kejadian dan kilang telah ditutup dari jam 5 petang hingga 9 pagi setiap hari dan terdapat seorang pengawal keselamatan ditugaskan di tempat kejadian.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat memburu suspek.