Seorang pemilik kedai terpaksa mendapatkan rawatan di hospital apabila cedera diserang oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu, pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa difahamkan dipukul oleh kumpulan suspek dengan menggunakan kerusi sebelum melarikan diri daripada lokasi kejadian.

Kejadian tersebut turut menjadi tular selepas video insiden berkenaan dirakam oleh orang awam yang turut berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian tersebut.

"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

"Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang dan motif pergaduhan tersebut masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, suspek yang terlibat dalam kejadian itu masih dikenal pasti dan tiada sebarang tangkapan invididu setakat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.