Polis mengesahkan salah seorang mangsa warga tempatan yang maut dalam insiden mesin meletup di kawasan perindustrian Kundang, Rawang pagi Sabtu adalah pemilih kilang kejuruteraan elektrik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maaruf berkata, mangsa dikenali sebagai Heng Kah Hong, 58 tahun.

Katanya, seorang lagi warga tempatan yang maut merupakan Juruteknik luar dikenali sebagai Wong Siak Hoong, 56 tahun sementara mangsa ketiga iaitu warga Bangladesh ialah Mohammad Alim, 53 tahun.

"Ketika kejadian kesemua mangsa berada berdekatan mesin penjawa elektrik yang disedang diuji sebelum digunakan.

"Hasil siasatan awal, perkara itu berlaku akibat daripada kerosakan mesin tersebut hingga menyebabkan ia meletup," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.


BACA: Tiga termasuk dua warga tempatan maut, mesin dalam kilang meletup

Tambah Samsor, seorang warga Bangladesh Hossan Ali, 40 tahun yang mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebelum kejadian itu.

Kawasan kilang yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu itu juga ditutup untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.