Pengusaha sebuah restoran di Taman Serai di sini meminta Indah Water Konsortium (IWK) menangani segera masalah limpahan air kumbahan yang berlaku ketika hujan lebat kerana ia menjejaskan perniagaan.

Pemilik Restoran Chu'Lan Kopitiam Nurhidayah Ramlan, 33, mendakwa beliau mengalami kerugian kira-kira RM1,500 sehari kerana terpaksa menutup restoran berikutan bau air kumbahan yang bertakung merebak sehingga ke dalam premis.

"Saya terpaksa menghentikan sementara operasi perniagaan sehingga sisa air kumbahan bertakung dibersihkan bagi menggelak pelanggan jijik dan hilang selera menikmati hidangan yang disajikan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata masalah itu berlarutan sejak dua tahun dipercayai berpunca daripada sistem pengaliran kumbahan gagal menampung kapasiti air yang banyak ketika berlaku hujan lebat.

"Apabila sistem kumbahan tidak berfungsi dengan baik dan gagal menampung kapasiti air banyak semasa hujan lebat, laluan air akan tersumbat dan bertakung seterusnya melimpah masuk ke dalam restoran," katanya.

Menurut Nurhidayah, pihak IWK sepatutnya menyelesaikan masalah sistem kumbahan tersekat dengan membuat saluran lain bagi melepaskan sisa ke parit besar yang terletak tidak jauh dari restoran.

"Bau busuk daripada sistem kumbahan itu juga mengundang kehadiran lalat dan tikus yang boleh menjejaskan mutu kebersihan premis perniagaan saya," katanya.

-- BERNAMA