Pemilikan politik syarikat media perlu dielak - Gobind

Pemilikan politik syarikat media perlu dielak - Gobind
Gobind Singh Deo berkata kementeriannya akan mencadangkan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.
KUALA LUMPUR: Pemilikan syarikat media oleh parti politik harus dielak bagi menghalang laporan salah dan membantu memupuk kebertanggungjawaban akhbar.

Namun, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, perkara itu perlu diputuskan kerajaan terlebih dahulu.

“Pendirian saya adalah kita harus mengelakkan pemilikan media oleh parti-parti politik.

"Tetapi sudah tentu keputusan untuk mengharamkannya mesti diputuskan oleh kerajaan," kata Gobind sambil menambah bahawa beliau terbuka untuk berbincang dengan pihak berkepentingan berkenaan perkara itu.

Dalam pada itu, Gobind berkata kementeriannya akan mencadangkan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 untuk mengetatkan beberapa peruntukan dalam undang-undang yang disifatkan terlalu meluas.

"Seksyen 233, sebagai contoh, mengatakan bahawa adalah satu jenayah untuk menyebarkan bahan yang dianggap menyinggung perasaan, tetapi apa yang menyinggung dan pihak mana yang tersinggung?

"Itu boleh dibahaskan dan tidak jelas," kata Gobind.

Ahli Parlimen Puchong itu bercakap pada forum 'Think Media Malaysia 2018' yang dianjurkan oleh Google Malaysia pada Isnin.