Polis Pahang mengesahkan telah menahan seorang pemimpin bahagian sebuah parti politik di negeri ini bagi membantu siasatan mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Mazlan Hassan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan pada 3 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

"Suspek dipercayai telah menghantar ugutan kepada ketua polis daerah itu menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis lalu.

"Bagaimanapun, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita selesai merakam percakapannya dan polis juga merampas telefon bimbit suspek," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zakaria berkata suspek dipercayai berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai daripada seorang lelaki, yang turut memegang jawatan dalam parti itu.

Beliau juga mengesahkan Mazlan telah membuat laporan polis terhadap ugutan itu sehari selepas menerima ugutan tersebut.

-- BERNAMA