"Hampir 10 tahun dah perintah negeri tapi masalah air terawat pun tak selesai-selesai. Itulah barangkali yang boleh kita katakan, 'pemimpin dapat undi, rakyat pula dapat baldi."

Itu ungkapan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia negara yang gagal atau 'failed state'.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah menerima pelaburan berbilion-bilion ringgit disamping pengukuhan ringgit.

"Syarikat Aramco, milik Kerajaan Arab Saudi telah menyuntik AS$7 bilion atau berjumlah hampir RM30 bilion dana pelaburan ke negara ini, dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

"Atas semua kejayaan yang telah kita capai bersama ini, saya ingin bertanya, siapa kata kita negara yang gagal atau a failed state?" soalnya.

Perdana Menteri berkata maksud 'gagal' dalam pentadbiran boleh diambil contoh dari contoh isu air dan jambatan.

"Setahu saya, yang dikatakan gagal itu adalah, apabila bina 'terowong tak siap-siap'… bila berlaku masalah banjir, tapi minta bantuan kita dan penjawat awam jugalah yang kena selesaikan.

"Jika itu tidak dikira gagal, nak cakap apa lagi?" soalnya lagi.

Najib turut menegur sikap 'pemimpin utama pembangkang' yang dikatakan sanggup mempergunakan institusi pendidikan untuk tujuan politik.

"Itu belum kira ada 'pemimpin utama pembangkang' dari sebuah negeri di utara Semenanjung, sanggup mempergunakan institusi pendidikan untuk tujuan politik dan 'terkinja-kinja' menyanyi lagu anti-GST di hadapan kanak-kanak bagi menyemai kebencian terhadap Kerajaan Persekutuan," jelasnya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-16 di Putrajaya pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan sebanyak sembilan berita baik buat penjawat awam dan pesara kerajaan termasuk kenaikan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang bermula 1 Julai nanti.