Belum reda kes semakan status Petronas di mahkamah 12 Jun ini dan isu kedudukan Barisan Nasional di Sarawak, hari ini Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen membangkitkan satu isu lain.

Beliau mahu supaya semua pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri itu mengisytihar aset masing-masing selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Chong berkata, menteri, timbalan menteri dan pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Sarawak perlu mengisytihar harta sebagai salah satu usaha mengintegritikan pemimpin daripada kes rasuah.

Malah, beliau mengungkit kembali kata-kata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg yang menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semua dasar baharu yang diperkenal.

“Beliau bersama kabinet negeri harus turut serta dan duduk sebaris dengan dasar diperkenal PH.

"Ini bagi memastikan Kerajaan Negeri telus dalam tadbir urus," tambah Ahli Parlimen Stampin itu pada satu sidang media khas di pejabat DAP Negeri di sini.

Lanjutan kepada isu itu, kata Chong, Kerajaan Negeri perlu menjadikan dasar pengisytiharan harta oleh PH sebagai kayu ukur ketelusan tadbir urus Sarawak.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengeluarkan arahan supaya barisan kabinet serta pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta.

Ia dilaporkan terus kepada Dr Mahathir sebelum dirujuk kepada agensi berkaitan bagi mengelak sebarang salah laku dan ketirisan maklumat.

Sebelum ini, ketika pemerintahan arwah Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri, Sarawak menjadi Kerajaan Negeri pertama di Malaysia menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu.

Malah, langkah diambil kerajaan Sarawak itu turut dijadikan sebagai contoh untuk negeri lain.