Mereka yang membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau 'ah long' harus sedar akan risiko yang terpaksa mereka tanggung, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ramai di antara mereka terpaksa berbuat demikian atas pelbagai sebab namun perkara itu harus diteliti supaya mereka tidak terperangkap.

"Perkara sebegini memerlukan tindakan pantas daripada peminjam itu sendiri. Kita tidak mahu campur tangan dalam soal peribadi mereka tetapi pada waktu yang sama kita mohon kerjasama daripada mereka.

"Jika mereka diugut atau sebagainya, maklumkan kepada pihak polis supaya tindakan awal boleh dijalankan," katanya dalam sidang media ketika melakukan lawatan kerja dan sesi taklimat persediaan PRU14 bagi PDRM di Dewan Tun Razak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman.

Datuk Seri Ahmad Zahid mengulas tindakan beberapa individu dipercayai 'ah long' yang mengunci rumah enam sekeluarga sebelum membakar kediaman dua tingkat mereka dalam kejadian di Taman Cheras Prima, Kajang semalam.