Seorang pemuda dijumpai mati di dalam rumahnya di Kampung Belakang Sekolah Kupang, di sini selepas mengangkat neneknya yang lumpuh di tingkat atas rumah akibat banjir kilat hari ini.

Mangsa, Darul Hafiz Mohd Danial, 23, ditemui tertiarap di dalam air di kaki tangga rumahnya selepas selesai memindahkan neneknya Che Wan Mustapha, 77, ke tingkat atas 9 pagi tadi.

Paras air akibat banjir ketika itu yang turut melanda kampung berkenaan dikatakan berada pada paras paha.

Rakan mangsa, Firdaus Ishak, 21, yang ditemui di rumah mayat Hospital Baling, berkata sebelum itu beliau dan tiga lagi rakannya diminta mangsa untuk datang membantu bagi memindahkan neneknya ke bahagian atas rumah.

"Setelah kami mengangkat neneknya yang lumpuh sejak tiga tahun lalu ke bahagian atas, kami pun keluar untuk berehat di tepi pagar sekolah terletak di depan rumah arwah (mangsa).

"Tiba-tiba arwah masuk semula ke rumah untuk melihat nenek dan mahu membancuh susu untuk neneknya," katanya.

Beliau berkata namun selepas lebih 45 minit mangsa tidak keluar rumah, mereka masuk semula ke rumah mangsa dan menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam air.

Katanya sebelum itu mangsa ada mengadu keletihan kerana memindahkan barang selain mengangkat neneknya itu.

Datuk mangsa, Mohd Radzi Ahmad, 77, berkata cucunya itu memang tinggal bersama neneknya di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan beliau tinggal di tempat lain.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shariffuddin Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Sebab kematian masih belum diketahui. -- Bernama