Seorang pemuda lembam dan seorang janda muda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada Ahad atas pertuduhan membunuh seorang pemandu jengkaut di Kampung Kesang Laut, Tangkak, baru-baru ini.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Hamzah, 19, hanya menggeleng kepala sebagai isyarat tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Manakala Norshahilla Ismail, 23, menunduk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Omar Miskam, 49, antara pukul 11.59 malam 31 Oktober sehingga 4.30 pagi 1 November lalu.


Kesalahan itu dilakukan di hadapan rumah beralamat JK 19, Jalan Kesang lLut, Batu 2, Tanjung Gading Sungai Mati, Tangkak.

Kedua-dua suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Peguam, R.K. Balakrishnan yang mewakili Muhammad Firdaus memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai sejarah penyakit mental dan memohon pihak mahkamah untuk membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan sepanjang kes berjalan.



Maslinda kemudian menetapkan 22 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tiada jaminan dibenarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Tertuduh kedua yang juga merupakan pelajar institut kemahiran di tangkak juga masih belum melantik peguam.