Pemuda maut digilis kereta api

Pemuda maut digilis kereta api
Mangsa, berusia 20-an yang hanya dikenali sebagai Totoh, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala. - Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
BEAUFORT: Bahana 'tertidur' di landasan kereta api, seorang lelaki warga asing yang disyaki khayal angkara menghidu gam, maut selepas kepalanya digilis kereta api dalam kejadian di Kilometer 1.5 Stesen Beaufort, di sini, pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 5.02 pagi itu, mangsa, berusia 20-an yang hanya dikenali sebagai Totoh, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak dalam kenyataan medianya hari ini berkata, ketika kejadian pemandu kereta api itu melihat kelibat mangsa yang terbaring di atas landasan kereta api berkenaan sebelum bertindak menarik brek kecemasan.

"Siasatan awal mendapati pada jam 5.02 pagi, kereta api bertolak dari stesen Beaufort menuju ke Tg Aru dengan kelajuan 35 kilometer sejam.
"Setibanya di tempat kejadian, pemandu terlihat satu objek melintang di landasan kereta api yang pada mulanya disangka longgokan sampah.

"Bagaimanapun, pada jarak kira-kira 20 meter, pemandu kereta api tersebut menyedari objek yang disangkakan sampah itu sebenarnya mangsa, lalu terus menarik brek kecemasan bagi memberhentikan kereta api namun tidak sempat dan terus menyeret dan menggilis mangsa," katanya.


BACA: Tubuh remaja cantik berkecai digilis ketika swafoto

Mengulas lanjut, Azmir berkata, mangsa yang tidak mempunyai dokumen itu parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Difahamkan, pemandu kereta api itu mempunyai 11 tahun pengalaman memandu kereta api.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat dan tindakan lanjut, "katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.




Tag: maut, kereta api, gam, tertidur, landasan, Totoh, Azmir Abdul Razak, Beaufort, Tg Aru, warga asing


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.