Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol kekasih bawah umur empat tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Mohamad Aiman Abu Bakar, 19, didakwa telah merogol mangsa sebanyak dua kali yang ketika itu berumur 15 tahun 3 bulan dan 15 tahun 5 bulan di Kampung Jenereh Bongkok, Machang pada November 2014 dan Januari hingga Mac 2015.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan tertakluk kepada hukuman di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun penjara dan boleh dikenakan sebatan.

Tertuduh turut memohon jaminan daripada mahkamah kerana terpaksa menjaga bapanya yang sedang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad bagaimanapun memohon mahkamah tidak mengeluarkan jaminan terhadap tertuduh kerana tertuduh dan mangsa saling mengenali.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 September ini untuk melantik peguam dan penyerahan dokumen.