Seorang anak muda pada Khamis menemui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bagi memohon maaf.

Pemuda yang dikenali sebagai Khalifah Putra itu tampil memohon maaf kepada kedua-dua insan itu, kerana telah melemparkan fitnah kepada mereka sebelum ini.

"Alhamdulillah. ALLAH panjangkan umur saya. Pada hari ini saya diberi peluang untuk bersemuka dengan dua insan ini.

"Bermula dari tahun 2010 bermacam-macam fitnah yang aku sebarkan ke atas insan ini. Setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah tiada satu pun yang berjaya dibongkarkan. Ternyata ia kekal fitnah," katanya yang turut berkongsi video pertemuan berkenaan.

Lokasi pertemuan tersebut bagaimanapun tidak dinyatakan.

Berkongsi lanjut, Khalifah menegaskan bahawa dia tidak sanggup untuk berhadapan di mahsyar kelak seandainya tidak tampil memohon maaf.

"Terima kasih Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah kerana sedia memaafkan saya," katanya.

Sementara itu, Najib yang turut berkongsi pertemuan itu di Facebooknya menyatakan bahawa beliau "tidak simpan di hati di atas apa yang pemuda itu lakukan".

"Saya maafkan. Apa yang telah berlalu, kita biarkanlah ia berlalu pergi. Pandang ke hadapan.

"Bagi saya, yang penting kini ialah apa yang akan berlaku kepada saudara-saudari kita rakyat Malaysia semua," katanya.