Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan Dewan Pemuda Pas Malaysia Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda BN akan mula melancarkan jentera pilihan raya sewaktu penamaan calon, Sabtu ini.

Katanya, kekangan yang bakal dihadapi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh ditangani memandangkan mereka sudah punyai prosedur operasi standard (SOP) sewaktu Pilihan Raya Kecil DUN Chini baru-baru ini.

“Kita akan bekerjasama dengan parti komponen terutamanya MCA dan MIC. Dan saya selaku Pengerusi Pemuda BN sudah pun mengadakan mesyuarat dengan MCA, MIC, untuk kita gerakkan secara bersama.

“Di samping itu kita juga telah mendapat juga dokongan Pemuda Armada Perak yang sudi bersama. Dan sudah pasti Dewan Pemuda Pas Malaysia dan Perak akan turut bersama-sama dengan kita,” katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO berharap agar pimpinan kanan parti dapat memberi keutamaan kepada calon muda bagi PRK kali ini.

Katanya, pihaknya juga sudah menghantar memorandum mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Tanjung Malim, Mohamad Amin Othman yang juga Exco Pergerakan Pemuda Malaysia sebagai calon pilihan parti.