Seorang lelaki pemungut sampah warga Bangladesh ditemukan mati dengan kesan tetakan, dipercayai dibunuh rakan senegaranya di depan sebuah kilang di Jalan Chan Chung, Saleng dekat Kulai, Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Razak Md Said berkata mayat mangsa dijumpai orang awam pada pukul 9.05 malam.

Terdapat kesan tetakan senjata tajam di bahagian leher dan lengan kanannya dan mangsa dipercayai meninggal dunia, sejurus kejadian.

Razak berkata berdasarkan siasatan, mangsa berusia 29 tahun telah diserang seorang lelaki, juga warga Bangladesh berikutan perselisihan antara kedua mereka.

"Suspek telah dikenal pasti dan polis sedang giat mengesannya," kata beliau dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. --BERNAMA